CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Pages

Monday, June 30, 2008

Pengambilalihan Lotus oleh PROTON

Norwich (England) 30 okt. - Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) membuka lembaran baru dalam sejarah apabila secara rasmi mengambilalih 80 peratus kepentingan syarikat kereta sports British Lotus pada harga 51 juta paun sterling (RM204 juta) hari ini dan Tan Sri Yahya Ahmad dilantik menjadi pengurusi baru.

Lotus yang ditubuhkan di London pada tahun 1955 dan menjadi kebanggaan industri motor British selama 40 tahun kini berada di bawah kawalan Proton, syarikat nasional Malaysia yang baru terlibat dalam aktiviti automobil kira-kira satu dekad lalu.

Dalam pengambilalihan itu Proton akan turut menyerap hutang- hutang Lotus yang bernilai 13 juta paun sterling (RM52 juta) _ langkah yang bukan sahaja menyelamatkan Lotus daripada bankrap tetapi juga menyediakan Proton dengan sumber-sumber kejuruteraan yang signifikan.

Proton membeli Lotus daripada ahli perniagaan Itali Ramano Artioli. Yahaya, yang merupakan Pengerusi DRB-HICOM, syarikat induk Proton, hari ini memulakan tugas pertama beliau sebagai Pengerusi Lotus.

Pagi ini Yahaya mempengerusikan mesyuarat pertama lembaga pengarah Lotus Group International Limited yang berada di bawah pengurusan baru.

Proton mempunyai empat orang wakil dalam lembaga pengarah.

Beliau juga memberi taklimat kepada 1,100 pekerja Lotus, wakil jualan dan pembekal-pembekal. Persefahaman antara Yahaya dan Artioli (yang masih memegang 20 peratus kepentingan dalam Lotus) ialah kegiatan kejuruteraan dan pengeluaran kereta-kereta Lotus akan terus beroperasi dari pejabat dan kilang Lotus di sini.

Mengumumkan pengambilalihan Lotus dalam satu sidang akhbar yang dihadiri oleh lebih 150 orang wartawan, Yahaya berkata: ``Kami melihat perkongsian kukuh ini dari kacamata positif yang sama-sama menguntungkan Lotus dan Proton dan menjadikan kedua-dua syarikat lebih kompetitif.''

Katanya, Proton pada masa ini sedang menambah keupayaan kejuruteraan dalam usaha membina model baru dan mencapai sasaran pengeluaran 500,000 buah kereta berkualiti pada tahun 2000.

Menurut Yahaya, dengan menguasai Lotus, Proton kini dapat terlibat dalam operasi penyelidikan dan pembangunan kereta Lotus yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. Beliau memberi jaminan mengenai masa depan semua kakitangan Lotus dan pengeluaran kereta syarikat itu di Norwich.

Kejayaan Proton mengambilalih Lotus merupakan satu tamparan kepada lebih daripada 10 bakal pembeli termasuk Daewoo, syarikat kereta Korea Selatan, yang dikatakan membuat tawaran membeli Lotus pada harga 100 juta paun sterling (RM400 juta).

Artioli memberitahu para wartawan di sini bahawa beliau melihat masa depan Lotus adalah lebih cerah di bawah Proton yang beliau sifatkan sebagai ``syarikat muda yang gigih''. ``Saya menjual Lotus kepada Proton bukan kerana wang... saya melihat masa depan Lotus yang cemerlang.''

Pada masa sekarang Proton mengeluarkan dua model kereta sports iaitu Esprit dan Elise, tetapi menurut Artioli hampir 70 peratus daripada perniagaan Lotus ialah dalam bidang khidmat runding kejuruteraan.

Tahun lalu Lotus untung 8.5 juta paun sterling (RM34 juta) daripada perolehan sebanyak 65.4 juta paun sterling (RM261.6 juta).

Selain mengeluarkan kereta-kereta sports, Lotus juga terlibat dalam kegiatan merekabentuk kereta untuk syarikat- syarikat lain. Pelanggan utama ialah General Motors dari Amerika Syarikat.

Mengenai masa depan beliau dalam Lotus, Artioli berkata soal itu kini bergantung kepada pemilik baru. ``Saya bersedia memberi sumbangan jika diberi peranan.''

Menurut jutawan kereta Itali itu, beliau sebelum ini sedih kerana terpaksa menjual Lotus.

Bagaimanapun selepas berunding dengan Proton, beliau mendapati di bawah Proton, Lotus akan berupaya mencapai matlamat-matlamat syarikat itu.

Katanya: ``Bagi saya, ini ialah peluang paling baik bagi Lotus. Saya kini gembira. '' - Utusan.

0 comments: